 |
| Jalan raya kampung pada tahun 1960an |
Jarak kampung kami dengan Bandar Pasir
Mas hanya 6 km (3 batu setengah). Meskipun jaraknya tidak sampai 10 km, namun sebelum tahun 1967 keadaan
jalan raya di kampung kami masih lagi dalam keadaan yang amat daif yang
menjadikan jaraknya seolah-olah sangat jauh. Pada ketika itu jalan raya
tersebut masih lagi tidak berturap meskipun itulah satu-satunya jalan utama yang menghubungkan bandar Kota Bharu dan Pasir Mas dengan pekan Rantau Panjang, yang juga jalan untuk ke
negara Thailand di kawasan negeri Kelantan pada ketika itu. Keadaan jalan raya sangat teruk, berlopak-lopak
dan licin pada musim hujan, terutama sekali semasa musim monsun timur laut pada
bulan November dan Disember pada setiap tahun. Keadaan jalan ini amat berbahaya kepada semua
kenderaan yang lalu-lalang terutamanya kepada motosikal, kereta, lori
dan sebagainya. Kenderaan yang terbabas akibat jalan yang licin itu pula boleh membahayakan para pejalan kaki yang berjalan kaki ke Pasir Mas meskipun jaraknya lebih dari 3 batu. Berjalan kaki dalam jarak 3 atau 4 batu adalah perkara biasa bagi masyarakat kampung pada masa itu.
 |
| Land Rover Series 1 |
Pada musim kemarau pula
keadaan jalan raya ini sangat berdebu apabila ada kenderaan yang melaluinya
terutama sekali apabila kenderaan berat seperti lori dan bas lalu. Pendeknya semua dinding bangunan
dan rumah-rumah yang terletak di tepi jalan raya habis diselaputi debu
tanah merah yang ditiup angin pada musim kemarau. Pada ketika itu di
kampung kami hanya seorang sahaja yang memiliki kenderaan iaitu Pakcik Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Pak Kar yang memiliki kenderaan
jenis Land Rover Series 1. Land Rover Pak Kar ini juga dipanggil
penduduk kampung sebagai Jip Pak Kar. Panggilan jip itu bermaksud
kenderaan pacuan 4 roda Jeep yang digunakan oleh tentera Amerika, tetapi sebenarnya Land Rover merupakan kenderaan pacuan 4 roda buatan England. Kenderaan ini
amat sesuai dengan keadaan jalan di kampung kami pada ketika
itu. Pada musim hujan Land Rover Pak Kar kerap kali terbenam di
jalan yang berlumpur dan berlopak. Setiap kali jipnya terbenam Pak Kar
akan meminta pertolongan orang-orang kampung untuk menolaknya keluar daripada
lopak berkenaan.
 |
| Road grader JKR |
Semasa saya mula-mula bersekolah rendah
pada tahun 1965 kenderaan yang melalui kampung kami semakin bertambah
memandangkan jalan tersebut merupakan jalan utama yang menghubungkan bandar
Pasir Mas dan Rantau Panjang serta untuk ke Thailand. Pada
tahun-tahun berikutnya jalan itu mula diperbaiki dan dinaiktaraf sebagai jalan
negeri. Kerja-kerja menaiktaraf jalan tersebut bermula pada tahun 1966 semasa saya bersekolah dalam Darjah 2. Semasa
kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf jalan itu dibuat saya berpeluang melihat dengan
lebih dekat semua jenis kenderaan dan jentera berat yang digunakan oleh
Jabatan Kerja Raya (JKR). Antara kenderaan dan jentera berat yang
digunakan pada ketika itu ialah lori roda 6 pengangkut tanah, lori
roda 10 pengangkut jentera berat, road grader, jengkaut, traktor dan steamroll yang
digunakan untuk tugas-tugas penyelenggaraan dan proses naik taraf jalan
tersebut. Manakala Land Rover pula biasanya digunakan untuk membawa penyelia
(overseer) atau orang kampung kami menyebut sebagai ‘abusia’ iaitu pegawai JKR yang terlibat
dengan pemantauan kerja-kerja luar.
 |
| Steamroller JKR |
Kedatangan jentera-jentera tersebut
merupakan satu ‘hiburan’ bagi kami budak-budak kampung pada
ketika itu. Kami begitu seronok dan kagum melihat kecekapan pengendali jentera
seperti road grader dan steamroller menjalankan
kerja-kerja mereka itu dengan teliti dan kemas. Kerja-kerja tersebut juga
pernah saya lihat sebelumnya semasa mereka melakukan kerja rutin
setiap kali selepas musim tengkujuh pada setiap tahun. Jenis-jenis jentera berat yang
digunakan oleh JKR Daerah Pasir Mas pada ketika itu ialah road grader, jengkaut
dan steamroller model Aveling Barford, Michigan, Catterpillar dan
lain-lain yang saya tidak berapa pasti namanya. Kebanyakan traktor yang digunakan
ialah model Ford, manakala hampir semua lori pengangkut batu dan
tanah pada ketika itu ialah lori model Albion FT37EL
Chieftain, Albion CH13A Chieftain dan Thames Trader. Semua kenderaan JKR dicat
dengan warna kuning pada bahagian kepalanya, warna kelabu pada bahagian
muatannya dan warna hitam di bahagian bawah termasuk rim roda. Di
bahagian tempat muatannya ditulis JKR diikuti dengan huruf dan nombor,
yang pada hemat saya nombor siri lori JKR di seluruh negeri
Kelantan atau mungkin di seluruh Malaysia pada ketika itu.
 |
| Lori JKR model Albion CH13A Chieftain |
Antara nombor-nombor pada
badan lori yang saya masih ingat pada ketika itu ialah A1, A2,
A3, A8, A18, A19 dan A56 bagi lori jenis Albion FT37EL Chieftain. Manakala A75,
A76, A77, A83, A86, A87 bagi lori jenis Albion CH13A Chieftain dan hanya sebuah
lori jenis Thames Trader dengan nombor A49. Pada sekitar tahun 1969
dan awal 1970 terdapat lori JKR bernombor A111 dan A112 jenis Ford L,
A136 model Bedford MK dan jenis Seddon 16/4 yang kesemuanya buatan
England. Lori-lori bernombor lain mungkin berada di JKR daerah lain atau di
JKR negeri lain. Lori model Bedford
S-Type pacuan 4 roda pula digunakan untuk membawa mesin
khas untuk kerja-kerja menservis jentera berat
seperti steamroll, road grader, jentolak dan
sebagainya kerana lori model ini lebih berkuasa dan tahan
lasak. Manakala lori roda 10 untuk mengangkut jentera berat pula terdiri
daripada lori model Thames Trader dan Austin 303. Kini JKR tidak
lagi menggunakan lori-lori model vintage tersebut, sebaliknya
hampir kesemua telah diganti dengan lori-lori buatan Jepun iaitu model Hino
dan Mitsubishi, malah terdapat juga lori model Tata LPT 2516 buatan
India. Apa yang menarik semua kenderaan JKR masih lagi menggunakan warna
yang sama sejak dahulu hingga ke hari ini yang sememangnya menggamit kenangan saya pada zaman kanak-kanak dahulu. Demikian catatan memori tentang jalan raya di kampung kami pada
sekitar tahun 1965 hingga tahun 1970.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan