RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 Oktober 2010

Belasungkawa: Hj. Ibrahim Omar (Desa Pingitan)

Ibrahim Omar yang lebih mesra dengan panggilan Aki Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.30 pagi Jumaat 29 Oktober 2010 di samping ahli keluarganya setelah beberapa bulan berkeadaan kurang sihat. Allahyarham merupakan keturunan Haji Awang bin Awang Pendek yang berasal dari Pekan, Bandar Diraja Pahang. Haji Awang adalah seorang ahli agama yang berhijrah dari Pekan sekembalinya daripada menunaikan fardu haji di Mekah dan bermastautin di Kampung Jeram Landak (Daerah Lipis) selepas berkahwin dengan Puan Hawa Ismail dari Kampung Mempelas yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Perkahwinan mereka telah dikurniakan empat orang anak lelaki iaitu Deman, Omar (Imam Omar), Embor dan Hamid*.
Omar kemudiannya telah berkahwin dengan gadis yang ada pertalian keluarga dengannya iaitu Fatimah Daud dari Kampung Talus. Hasil perkongsian hidup Omar dan Fatimah telah dkurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Abdul Wahab dan Ibrahim. Omar kemudiannya mengambil seorang anak angkat yang bernama Mek kerana mereka tidak mempunyai anak perempuan. Oleh kerana kecintaan mendalam terhadap pendidikan agama, Omar kemudiannya telah melanjutkan pelajaran agama di Pondok Kenali, iaitu sebuah pengajian pondok yang terkenal di Kelantan. Beberapa tahun selepas itu, Omar telah berpindah ke Kampung Mela dan terus mempelajari agama daripada beberapa orang keturunan Kampar sehingga dilantik sebagai imam di Masjid Kampung Mela. Beliau kemudiannya dipanggil Imam Omar*.
Ibrahim Omar dilahirkan pada 17 Jun 1936 di Kampung Jeram Landak, Mela, Kuala Lipis semasa ayahnya sedang menuntut ilmu agama di Kelantan. Ibrahim menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Mela, Kuala Lipis hingga lulus darjah V pada tahun 1946. Beliau kemudian belajar di Sekolah Inggeris Clifford di Kuala Lipis, dan selepas itu meneruskan pelajarannya di Sekolah Arab hingga tahun 1956. Pada tahun 1957, Ibrahim Omar menyambung semula pelajaran Inggerisnya di Bentong dan lulus Tingkatan IV pada tahun tersebut. Selepas tamat persekolahan, Ibrahim Omar pernah bekerja sebagai kerani, berniaga dan bekerja kampung. Mulai tahun 1960, beliau ditawarkan menjadi guru sementara di Mela dan kemudian diterima pula menjadi guru bahasa dan sastera di Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak dan kemudiannya menjadi guru besar di sekolah tersebut. Beliau pernah berkhidmat sebagai penyunting Utusan Malaysia di Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 1975.
Ibrahim telah mendirikan rumah tangga dengan Fatimah binti Hussin dari Kampung Mempelas dan dikurniakan lima orang cahaya mata, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak mereka ialah Suri Despila (Suri = Pengurus Rumah tangga, Despila = Desa + Pingitan + Mela), Mohd Mahyuddin (telah kembali ke Rahmatullah kerana kemalangan jalan raya pada tahun 2008), Puspa Ilhamku (lulusan Illinois State University dan kini Jurutera Petronas di Melaka), Amir Marhim (Amir = Ketua, Marhim = Orang miskin/susah) dan Adibah Masni, seorang hafazah yang kini menetap di Raub, Pahang*.
Dalam lapangan penulisan Ibrahim pernah menjadi pengarang majalah Obor dan Berita UMNO, dan sebagai anggota sidang pengarang Utusan Melayu dari tahun 1975 hingga bersara. Setakat ini, Ibrahim Omar telah menghasilkan tidak kurang daripada sembilan buah novel dan sebuah kumpulan cerpen yang kebanyakannya diterbitkan sekitar tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an. Pada awal tahun 1985, novel remajanya Rembang Merah dipilih sebagai salah sebuah novel bacaan penting bagi peringkat sekolah menengah rendah; manakala novel Desa Pingitan telah memenangi hadiah Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962, dan dipilih menjadi buku teks wajib di sekolah-sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 1966 hingga 1968.
Antara novel karya beliau ialah Desa Pingitan (1964), Embun dan Tanah (1965), Hilang (1966), Hujan Panas (1966), Patah Galah Haluan Perahu (1973), Tiba Masanya (1977), Cucu (1978), Sengketa Rumah Pusaka (1980), Tok Bilal (1985) dan antologi cerpen perseorangan yang berjudul Imbuhan Ombak (1978). Melalui novel Cucu, Ibrahim Omar sekali lagi telah membuktikan kemampuannya apabila memenangi hadiah ketiga dalam Peraduan Menulis Novel Hari Guru. Manakala dalam tahun 1981, beliau memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Menulis Novel Islam anjuran Yayasan Islam Terengganu dengan novelnya bertajuk Tok Bilal. Selain novel Ibrahim Omar juga menghasilkan antologi cerpen perseorangan berjudul Imbuhan Ombak (1966).
Saya dan En. Mohd. Shukri Yaakub dari Unit LDP IPGKTAA mewakili pihak IPG dan Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA telah menziarahi keluarga Allahyarham pada pagi Sabtu 30 Oktober 2010. Semasa kunjungan tersebut balu Allahyarham telah menceritakan tentang tahap kesihatan arwah beberapa hari sebelum pemergiannya dan detik-detik terakhir beliau pada pagi Jumaat tersebut. Kira-kira dua minggu sebelumnya Allahyarham telah menolak undangan kami ke Program Bicara Karya Sastera Pahang 2010 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA yang diadakan pada 27 Oktober 2010 di IPGKTAA. Pada 9 Mac 2010 yang lalu, Jabatan Pengajian Melayu pernah menziarahi Allahyarham semasa hayatnya dalam Program Rintis Jejak Sasterawan. Kami juga dimaklumkan bahawa puteranya, Cikgu Amir Marhim telah mewarisi bakat penulisan yang dimiliki Allahyarham dan semoga kesinambungan itu akan berterusan. Kunjungan kami ke rumah yang terletak di tengah-tengah dusun seluas 4 ekar yang tenang tersebut telah benar-benar menggambarkan latar tempat dalam novel tersohornya ‘Desa Pingitan’. Sebuah coretan ringkas berjudul 'Saya' hasil tulisan tangannya tertampal kemas pada dinding bilik bacaannya. Semoga rohnya berada di sisi mereka yang dicucuri rahmat daripada Allah SWT. Alfatihah.

*Terima kasih kepada En. Mohd. Shukri Yaakub, Unit LDP IPGKTAA atas sumbangan maklumat berkenaan.

1 ulasan:

Izwan Abd Manaf berkata...

Al-Fatihah buat aki Ibrahim. Teringat pula kenangan zaman sekolah, menyauk ikan di paya berhampiran rumah aki Ibrahim. Boleh dikatakan setiap hari nampak kelibat Allahyarham aki Ibrahim berjalan kaki, lalu depan padang SK Mela (saya tinggal di kuaters guru SK Mela), menuju ke surau Kampung Mela. Allahyarham memang penulis yang berbakat besar. Hasil karyanya, Desa Pingitan (milik bapa saya) tetap dalam ingatan dan disimpan sampai bila-bila. Moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman. Amin.

Izwan Afiq Abd Manaf,
Pemuda Desa Pingitan, Mela.