RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

28 September 2010

Tradisi Hari Raya Yang Mula Berubah

Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini (1 Syawal 1431) telah disambut oleh seluruh umat Islam di negara ini pada hari Jumaat 10 September 2010. Manakala pada tahun lepas hari kebesaran umat Islam ini telah disambut pada hari Ahad, 20 Oktober 2009. Kemeriahan Hari Raya kali ini seperti biasa dirasai oleh seluruh umat Islam tanpa mengira darjat dan usia. Mereka meraikannya dengan kadar kemampuan dan suasana kemeriahan yang berbeza antara satu sama lain. Golongan yang berada merayakan dengan kadar kemampuannya, manakala golongan yang miskin merayakan dengan kadar kemampuannya tersendiri. Maka dengan itu Islam telah mewajibkan zakat ke atas setiap mereka yang berkemampuan bagi mengimbangi jurang antara umat tersebut. Golongan yang berkemampuan juga disunatkan bersedekah kepada golongan yang daif dengan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
Untuk sambutan Hari Raya pada tahun ini, saya telah ‘balik kampung’ untuk sambutan Hari Raya pada hari Selasa, 7 September 2010 iaitu kira-kira 3 hari sebelum Hari Raya. Selain untuk mengelakkan daripada kesesakan di jalan raya yang dialami pada setiap kali musim perayaan, jarak tersebut sekurang-kurangnya memberi peluang untuk saya berehat sambil meninjau persiapan Hari Raya yang dibuat oleh sanak saudara dan jiran tetangga di kampung. Saya ingin meninjau sejauhmanakah kebenaran yang menyatakan bahawa nilai tradisi sambutan Hari Raya masyarakat di desa sudah mula berubah sebagaimana yang dibicarakan oleh kebanyakan orang.
Pada hari pertama di kampung, saya telah berkunjung ke dua tiga buah rumah saudara mara yang tinggal tidak jauh dari rumah kami untuk bertanya khabar sementara masuk waktu berbuka. Saya sempat bertanyakan tentang persiapan juadah dan kueh-mueh untuk Hari Raya, mereka menyatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka tidak lagi membuat ketupat daun palas yang merupakan ‘juadah wajib’ untuk Hari Raya bagi kebanyakan tempat di negeri Kelantan. Alasannya budak-budak zaman sekarang tidak lagi berminat untuk menikmati juadah tradisi itu, mereka lebih gemar makan kueh-mueh moden seperti biskut almond London, pelbagai jenis tart, biskut dan sebagainya.
Jika pada masa dahulu dalam tempoh tersebut kebanyakan masyarakat desa sibuk menganyam daun kelapa, ‘membuka’ daun palas dan mencari daun pisang untuk ketupat pulut, mencari daun rambai atau daun pisang dan daun getah untuk tapai pulut, ‘memukul’ adunan untuk kueh baulu, mencari buluh dan mengumpul kayu api untuk membakar lemang dan merebus ketupat, tetapi suasana itu nampaknya tidak lagi banyak kelihatan. Saya mendapati kebanyakan mereka sibuk menyediakan kueh-mueh moden untuk juadah pada Hari Raya dengan resepi-resepi terkini. Resepi tradisi peninggalan nenek moyang nampaknya sudah semakin hilang.
Pada pagi Hari Raya kemeriahan tetap dirasai seperti dahulu tetapi dengan gaya yang berbeza. Kalau dahulu tiada konsep ‘rumah terbuka’ tetapi kini konsep rumah terbuka yang sebenarnya ‘kurang terbuka’ itu sudah mula meresap ke kampung. Saya berpendapat bahawa ‘kurang terbuka’ kerana selain daripada anak beranak, hanya mereka yang dijemput sahaja yang akan hadir berbanding pada masa dahulu semua orang bebas untuk mengunjungi semua rumah di sekitar kampung masing-masing. Pada masa-masa terdahulu rumah masyarakat desa sentiasa terbuka untuk diziarahi oleh semua saudara-mara dan rakan taulan mereka.
Faktor kesesakan jalan raya yang teruk juga merupakan salah satu sebab yang membataskan amalan ziarah menziarahi sanak saudara yang agak jauh. Kesesakan bermusim ini disebabkan oleh ledakan kenderaan mereka yang ‘balik kampung’ pada Hari Raya pada setiap tahun. Kalau dahulu majoriti perantau balik kampung menggunakan kenderaan awam, tetapi kini kebanyakan daripada mereka balik kampung menggunakan kenderaan sendiri. Bayangkan pada setiap kali Hari Raya setiap rumah dipenuhi sekurang-kurangnya tiga buah kereta, malah lebih daripada jumlah itu. Gambaran ini sebenarnya boleh ditafsirkan dengan beberapa andaian, antaranya rata-rata daripada kita sudah mempunyai kewangan yang kukuh dan mampu memiliki kenderaan sendiri, atau kemudahan pinjaman yang terlalu longgar oleh pihak institusi kewangan bagi membolehkan kita berkenderaan sendiri. Keduanya, kita memang wajib memiliki kenderaan walaupun dengan kadar kemampuan yang sederhana atau kita lebih rela berhutang dengan kadar luar kemampuan asalkan dapat memiliki kenderaan.
Namun walau apa cara sekalipun sambutan kita, janganlah kita melupai hikmah di sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya tersebut yang merupakan ‘hadiah’ berharga setelah kita berpuasa sebulan Ramadan. Sekian.

Tiada ulasan: