Langkah kerajaan membenarkan guru-guru berijazah DG41 hingga DG48 disambut baik oleh semua pihak. Bagi tujuan itu, kerajaan telah meminda Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang sebelum ini peraturan tersebut hanya membenarkan pegawai dalam Kumpulan Sokongan sahaja yang boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2010 bertarikh 30 Julai 2010, kerajaaan telah bersetuju Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 hingga DG48 khusus kepada pegawai-pegawai yang bertugas di Institut Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai gred berkenaan yang memegang jawatan Pengetua atau Guru Besar atau yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran di mana-mana institusi pendidikan dan agensi Kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam aktiviti politik. Kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia.
Banyak pihak menerima keputusan kerajaan ini dengan harapan yang cukup tinggi. Dengan ini, saya berpendapat bahawa mereka yang ingin terlibat dalam bidang ini hendaklah menggunakan peluang ini dengan penuh kebijaksanaan melalui pendekatan ilmu pengetahuan masing-masing. Mereka perlu bergerak ke barisan hadapan sebagai pemimpin di semua peringkat tanpa ‘pengaruh lain’, sebaliknya dengan kebijaksanaan ilmu yang mereka miliki. Justeru itu, tiada gunanya jika golongan berkenaan berpolitik sekadar menjadi ‘pengikut kepada keadaan yang sedia ada’. Menjadi pengikut kepada ‘keadaan yang sedia ada’, tidak memberi apa-apa makna kepada kebenaran dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 2010 tersebut. Sekali gus mengecewakan banyak pihak, khususnya mereka yang benar-benar ikhlas dalam berpolitik.
Sebagai pendidik, mereka perlu mencontohi roh kepimpinan terdahulu yang berpolitik dengan berlandaskan pengaruh kebijaksanaan ilmu pengetahuan, keikhlasan dan pengorbanan tulen, bukan dengan pengaruh wang, kuasa, dan lain-lain. Secara beransur-ansur mereka perlu ketepikan pengaruh kuasa bentuk itu yang kadang-kadang amat mengecewakan orang-orang yang dipimpin. Namun setelah aktif berpolitik, janganlah sekali-kali ‘terlalu berkuasa’ dan 'berlesen besar' sehingga sukar untuk dikawal oleh majikan sendiri. Mereka mesti ingat bahawa Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 boleh digunakan sekiranya mereka ingkar dengan tugas hakiki masing-masing. Jadilah pemimpin yang benar-benar dihormati sama ada sebelum, semasa dan sesudah mempunyai kuasa. Sekian.
0 ulasan:
Catat Ulasan