RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

05 Jun 2010

Pasar Minggu [ตลาด นัด] Muno', Thailand

Setelah kira-kira hampir 10 tahun tidak ke pasar minggu (dalam bahasa Thai pasar minggu disebut 'thalat nat' = ตลาด นัด) Muno’, Thailand, maka pada 28 Mei 2010 (semasa balik kampung - cuti umum Hari Wesak) saya telah berkunjung ke pasar tersebut untuk meninjau sambil membeli belah di situ. Pasar minggu Muno' yang sekian lama agak sepi akibat pergolakan politik di selatan negara gajah putih itu tidak lagi dikunjungi oleh warga Malaysia di sempadan ekoran daripada Peristiwa Berdarah Takbai pada 24 Oktober 2004. Pasar minggu yang menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Jumaat dan Isnin itu terletak di tebing Sungai Golok yang luasnya tidak sampai 100 meter memisahkan Malaysia dan Thailand. Di sepanjang sungai kawasan ini terdapat beberapa buah ‘pangkalan haram’ yang digunakan oleh penduduk berhampiran untuk berulang alik ke negara jiran dengan tambang perahu RM1.00 (9.85 bhat) seorang. Di tebing sebelah Malaysia (Kelantan) yang bertentangan dengan Muno’ ialah Kampung Bukit Lata yang terletak di tepi jalan lama Pasir Mas – Rantau Panjang.
Pasar minggu Muno’ telah sekian lama menjadi pusat membeli belah bagi kami penduduk Daerah Pasir Mas, khususnya penduduk yang tinggal di sepanjang Jalan Rantau Panjang Lama dan kawasan-kawasan lain termasuk dari luar daerah ini seperti Kota Bharu, Tanah Merah dan Tumpat. Kampung saya terletak kira-kira 10 km dari sempadan Muno’ dan pasar minggu ini merupakan salah satu tempat kami membeli belah barangan keperluan, terutama sekali pada bulan Ramadan. Harga bagi sesetengah barangan seperti pakaian, beras, buah-buahan, ikan dan sebagainya agak murah berbanding di sebelah Kelantan. Malah barangan pengguna berkenaan yang terdapat di kebanyakan pasar di Kelantan dibawa dari Thailand. Namun bagi barangan tertentu kualitinya adalah setanding dengan harganya, yang mana kebanyakan barangan yang dibeli di sebelah Thailand lebih cepat rosak berbanding buatan negara kita.
Ketika kami tiba jam 10.00 pagi kelihatan kereta begitu banyak diletakkan di tepi jalan raya dan di tebing sungai di sekitar pangkalan Bukit Lata sehingga melimpah ke tepi jalan utama. Ini merupakan petunjuk bahawa orang ramai dibenarkan menyeberangi sempadan. Tetapi sekiranya tidak banyak kereta kelihatan di kawasan ini, bermakna orang ramai tidak dibenarkan menyeberang. Kali ini mereka yang menyeberang diperiksa oleh pihak tentera Thailand sebaik sahaja naik ke pengkalan di sebelah Muno’. Ada juga pengunjung yang nama dan kad pengenalannya dicatat oleh anggota tentera tersebut. Ini merupakan salah satu langkah keselamatan yang diambil oleh pihak berkuasa Thailand di wilayah yang bergolak itu. Namun kunjungan secara ‘haram’ tanpa sebarang dokumen perjalanan ini tidaklah menggusarkan kami kerana sejak dahulu kami agak biasa datang ke sini. Cuma kami berharap agar selamat menyeberang dan selamat kembali. Itu saja.
Berkunjung ke pasar minggu Muno’ ada kelainannya. Apa yang menarik, terdapat beberapa perbezaan antara suasana di pasar minggu ini dan pasar minggu di negara kita. Terdapat beberapa item barangan jualan di sini tidak terdapat di mana-mana pasar di tempat kita antaranya tembakau (nicotiana tabacum) hiris untuk rokok daun, pokok-pokok hiasan dan buah-buahan, dan kueh-mueh tradisonal tempatan. Selain itu cara para peniaga dan penjaja menjalankan peniagaan di sini juga agak berbeza berbanding di negara kita. Mereka berniaga di pasar dan gerai yang amat sederhana dengan binaan daripada kayu hutan, beratap zink serta lantai yang tidak bersimen dan lorong yang tidak berturap. Namun semangat berniaga mereka amat mengagumkan kita. Seperti di Kelantan kebanyakan peniaganya juga terdiri daripada kalangan wanita, termasuk yang sudah berusia.
Saya amat tertarik dengan penjaja air minuman pelbagai perasa menggunakan kole tanah liat dengan harga RM2.00 (kira-kira 19.7 bhat) bagi setiap satu dan kole tersebut menjadi milik pembeli. Pelanggan juga boleh memiliki kole tersebut tanpa minuman dengan harga RM1.50 bagi setiap satu. Selain itu terdapat wanita Thai yang menjual pokok hiasan daripada spesis palma yang dipanggilnya ‘nyiur putih’ (spesis lodoicea maldivica atau curculigo lotofolia?). Pokok yang tidak pasti namanya ini cukup cantik jika ditanam secara berpasangan di rumah. Di tepi jalan pula terdapat longgokan durian yang kami gelar ‘durian bangkok’ yang dibawa menggunakan kenderaan pick-up dari daerah pedalaman. Manakala di gerai makanan terdapat pelbagai jenis kueh-mueh yang dijual bercampur gaul dengan gerai-gerai lain seperti buah-buahan, permainan kanak-kanak, laksa, keropok lekor dan keropok kering, ikan kering, ikan basah, budu dan garam. Manakala di bahagian pakaian pula sesak dengan orang ramai yang memilih pakaian ‘berjenama tersohor’ hasil peniruan secara kreatif sektor perindustrian fabrik negaranya dengan harga yang amat berpatutan.
Manakala warung yang menjual makanan dan minuman pula kelihatan terselit di celah-celah gerai barangan lain. Makanan yang dijual ialah nasi kerabu, nasi berlauk, mi celup, sup, laksa (kuah lemak dan pedas), laksan, pengat (pisang dan durian) dan kueh-kueh tradisional tempatan. Bagi mereka yang mementingkan kebersihan mungkin sukar untuk menjamu selera di sini memandangkan warung-warung tersebut terdedah kepada debu pejalan kaki di lorong berhampiran yang tidak berturap. Selain itu keunikan pasar minggu ini ialah terdapatnya kedai yang menjual unggas dengan pelbagai spesis burung hutan, ayam, itek, angsa dan sebagainya termasuk pelbagai jenis sangkar. Unggas yang dibeli pastinya menjadi ‘perhatian serius’ pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perhilitan jika dibawa ke Malaysia.
Demikian keunikan pasar minggu Muno’, Thailand yang sebahagian besar pengunjungnya ialah warga Malaysia. Ada pendapat mengatakan bahawa tanpa pengunjung dari Malaysia, denyutan nadi pasar minggu Muno’ akan menjadi perlahan malah akan terhenti, tetapi sebaliknya nadinya akan kekal aktif sekiranya pengunjung dari Malaysia dibenarkan berkunjung ke situ. Sekian. ขอบคุณครับ.

3 ulasan:

Dzul berkata...

Dah ketat nampaknya kawalan ke seberang sana...

MRS berkata...

Ya memang agak ketat, kerana Selatan Thai merupakan daerah yang bergolak.

MRS berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.