RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

07 Mei 2020

Kerja Sawah Secara Tradisional

Bajakan pertama
Sebagai anak yang original lahir dan dibesarkan di desa yang sumber ekonomi penduduknya daripada tanaman padi, maka kami anak-anak desa sejak kecil lagi terdedah dengan aktiviti pertanian tradisional yang diwarisi sejak turun temurun tersebut. Sejak dari kecil lagi kami sudah diasuh agar membantu ibu bapa mengerjakan sawah terutama sekali pada setiap hujung minggu. Sebagai anak petani kami diminta untuk membantu kerja-kerja ibu bapa bermula dengan tugas-tugas yang ringan dahulu. Melalui pengalaman tersebut menjadikan kami sedikit demi sedikit dapat mengenali dan memahami istilah-istilah khususnya yang berkaitan alat-alat penanaman padi secara tradisional. Antara alat-alat yang digunakan pada zaman itu ialah penolak, gebeng, nanggal, batang igu, tanduk igu, gerat, gigi gerat, paha gerat dan lain-lain.
Nanggal, igu dan gerat 
Membeluh
Alat pembajakan secara tradisional dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu nanggal, igu dan gerat. Setiap bahagian mempunyai komponen-komponen berkaitan dengan fungsi-fungsinya yang tertentu. Bahagian utama ialah nanggal iaitu komponen alat yang berfungsi untuk membajak atau memecahkan tanah sawah. Bahagian ini mempunyai komponen-komponen berkaitan iaitu nayang, ekor nayang, batang nanggal, baji, penolak, gebeng dan mata ketam. Bahagian igu pula mempunyai komponen-komponen berkaitan iaitu batang igu, tanduk igu, tali yut dan tali daha. Manakala bahagian gerat pula mempunyai komponen-komponen seperti batang gerat, paha gerat, gigi gerat, tangan gerat, mata ketam, penyengkeng dan kelilkir. Bahagian igu digunakan semasa kerja membajak dan kerja melumatkan tanah, manakala bahagian nanggal digunakan bersama-sama dengan bahagian igu hanya semasa kerja membajak dan bahagian gerat digunakan bersama-sama dengan bahagian igu semasa kerja melumatkan tanah.
Menggerat
Proses penanaman padi secara tradisi ini bermula dari penyediaan sawah hinggalah terhasilnya beras yang bermula dengan penyediaan ‘bekas semai’ dan dikuti dengan aktiviti-aktiviti lain yang sangat teknikal dan memenatkan. Untuk menyediakan bekas semai, pertamanya tanah sawah dibajak kemudian dibiarkan beberapa minggu agar tanah menjadi lebih lembut. Sawah kemudian dibajak untuk kali kedua yang dipanggil membeluh. Selepas membeluh, tanah sawah digerat supaya menjadi lumat sebelum benih padi ditabur. Dalam tempoh penyediaan tapak semaian tersebut para petani akan merendamkan benih padi, menyejat dan membiarkan benih padi tumbuh sebelum ditabur ke ‘bekas semai’. Jenis padi yang ditanam pada zaman itu ialah padi mahsuri, malinja, naga, neli, jambu, pulut dan sebagainya.
Setelah benih ditabur, petani akan menyucuk daun kelapa yang telah dipotong-potong sebagai tanda bahawa petak sawah berkenaan telah ditabur benih padi. Pada zaman itu anak-anak ditugaskan untuk menjaga tapak semaian agar benih padi yang ditabur tidak dimakan burung, ayam atau itik. Spesis burung yang biasa memakan benih padi selepas ditabur ialah burung pipit, burung merpati dan burung tiak yang mencari makanan secara berkumpulan sehingga berpuluh-puluh  atau beratus ekor dalam satu-satu kumpulan. Apabila anak semaian sudah tumbuh agak tinggi haiwan seperti kambing, biri-biri, lembu atau kerbau yang dilepaskan oleh pemiliknya pula yang akan memakan anak padi. Sekiranya sawah mereka jauh dari rumah sesetengah petani mendirikan pondok kecil untuk dijadikan tempat menjaga sawah mereka daripada ancaman haiwan liar.
Mencabut anak semaian
Setelah kira-kira 30 hingga 40 hari, tibalah masanya anak padi untuk diubah ke petak sawah lain yang disebut masyarakat setempat sebagai mencedung. Pada zaman dahulu terdapat amalan adat lama dengan meletakkan daun sepulih (fragracea racemosa) sebagai permulaan kerja mencedung dengan harapan padi akan cepat pulih selepas diubah ke petak sawah yang lain. Anak-anak padi biasanya dicabut oleh kaum wanita dan diikat dalam bentuk unting supaya mudah untuk dibawa ke petak sawah yang lain untuk dicedung. Unting biasanya diikat dengan menggunakan tali yang dibuat daripada kulit batang pisang, kulit pelepah pisang, kulit batang bemban (Donax canniformis) atau kulit pelepah rumbia (metroxylon spp) yang muda. Unting akan dipunggah oleh orang-orang lelaki dewasa dengan menggunakan lei ke petak sawah yang lain untuk dicedung.
Mencedung
Kira-kira seminggu atau dua minggu selepas pokok padi dicedung atau diubah, para petani akan meninjau mana-mana pokok padi yang mati atau tidak tumbuh. Pokok padi yang mati akan diganti dengan pokok-pokok padi yang baharu yang dipanggil sebagai aktiviti  menyulap supaya semua anak padi yang ditanam hidup sepenuhnya dalam petak sawah tersebut. Dalam tempoh selepas itu air dalam petak sawah dijaga agar pokok padi dapat tumbuh dengan subur dan tidak bantut atau mereka sebut ‘ngok’.
Dalam jarak masa selepas mencedung hingga padi masak, biasanya penduduk kampung kami akan melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti menanam pelbagai jenis ubi, sayur-sayuran, jagung, menangkap ikan dan ada juga yang kerja bertukang di kampung-kampung sekitar. Biasanya mereka akan melakukan kerja-kerja sampingan ini di lokasi yang tidak jauh dari kampung sendiri untuk memudahkan mereka membaja dan meracun serta memantau tanaman padi masing-masing. Dalam tempoh ini mereka sentiasa berdoa agar tiada musibah yang boleh merosakkan tanaman padi mereka. Bermulanya musim kemarau merupakan petanda kepada penduduk kampung bahawa padi sudah mula menguning dan tidak lama lagi padi boleh dituai.
Ketam dan gemal padi
Setelah padi masak mereka menuai padi dengan menggunakan ketam. Padi diketam setangkai demi setangkai dan diikat menjadi gemal, iaitu kira-kira dua cekak tangkai padi yang dituai. Gemal-gemal padi tersebut disimpan di dalam baluh sebagai sumber makanan keluarga untuk setahun dan bukan untuk dijual. Berkat usaha gigih mereka, sawah yang luas melaut itu sedikit demi sedikit mereka dapat menuai sehingga semuanya selesai. Ada kalanya kerja-kerja mengetam padi dilaksanakan oleh penduduk kampung secara berderau. Manakala padi dalam bentuk gemal tersebut kemudiannya ditanggalkan daripada tangkainya dengan cara mengirik yang biasanya dilakukan oleh kaum wanita. Kaedah mengirik padi yang diamalkan sejak turun temurun ini kemudiannya diganti dengan kaedah baharu pada awal tahun 1970-an iaitu kaedah membanting.
Baluh
Aktiviti mengirik dilakukan di atas bentangan tikar mengkuang atau belulang lembu atau belulang kerbau yang telah dikeringkan. Pada masa dahulu hampir setiap buah rumah di kampung kami mempunyai tikar atau belulang kering yang digunakan khas untuk menjemur dan mengirik padi. Padi hasil daripada irikan itu kemudiannya dijemur terlebih dahulu sebelum dikisar menggunakan kisaran padi yang dibuat oleh pakarnya yang tersendiri. Kisaran padi ini diperbuat daripada anyaman buluh dalam bentuk bulat dan di dalamnya diisi tanah liat yang dicampurkan dengan garam untuk tahan lebih lama. Bahagian bawah dan atas kisaran ini mempunyai gigi yang diperbuat daripada kepingan kayu untuk menghasilkan geseran bagi tujuan memecahkan kulit padi yang dikisar. Selepas dikisar, padi yang telah bertukar separa beras itu ditumbuk dengan menggunakan lesung kaki. Lesung kaki juga merupakan hasil ciptaan pakar dari kampung yang mengambilkira konsep ‘tuas’ sebagaimana yang terdapat dalam mata pelajaran sains yang dipelajari di sekolah.
Mengirik padi
Selepas padi ditumbuk, kemudian ditampi dan akhirnya beras dihasilkan. Aktiviti menumbuk padi ini juga biasanya dilakukan oleh kaum wanita terutamanya pada sebelah malam. Dengan itu, pada hampir setiap malam musim menuai akan kedengaran sayup-sayup hentakan lesung kaki dari arah rumah jiran berdekatan yang menunjukkan mereka sedang menumbuk padi dengan menggunakan lesung kaki. Beras yang diproses secara tradisional ini dikatakan mempunyai khasiat yang lebih baik berbanding beras yang diproses secara teknologi moden. Dengan beras yang diproses secara tradisional inilah kami anak-anak kampung membesar, manakala barang-barang dapur dan keperluan-keperluan lain diperolehi melalui jualan secara tukaran barang (barter system) dengan pihak peniaga kedai runcit atau peniaga di pasar. Demikian besarnya jasa dan usaha orang-orang tua kita dahulu yang bekerja dengan penuh ikhlas yang disertai dengan doa agar dapat menghasilkan rezeki yang halal dan berkat untuk kaum keluarga mereka. 
Persediaan kenduri beras baru
Selepas semua padi dituai biasanya penduduk kampung mengadakan kenduri kesyukuran atau disebut ‘kenduri beras baru’ sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT setelah segala usaha dan susah payah mereka semusim yang lalu telah mendapat hasil. Pada sebelah siang, biasanya para suri rumah akan bergotong-royong menyiapkan masakan untuk jamuan pada sebelah malamnya. Menu yang dimasak untuk kenduri tersebut biasanya gulai darat ayam kampung atau gulai itik serati yang mereka ternak sendiri, acar timun atau acar pisang benggala (Musa spp.), sambal dan ulam-ulaman yang diperolehi di sekitar kawasan kampung. Pada zaman itu tiada lagi ayam proses segar dijual sebagaimana pada hari ini, kecuali daging lembu atau daging kerbau yang dibeli di pasar.
Persiapan untuk memasak semua menu untuk jamuan ini biasanya mengambil masa dari pagi hinggalah ke petang sebelum dihidangkan pada sebelah malamnya, yang pada kebiasaannya selepas solat isya’. Para tetamu jemputan ialah terdiri daripada jiran tetangga dan sanak saudara yang tinggal berdekatan. Kenduri kesyukuran ini disertai dengan solat hajat,  tahlil dan bacaan doa selamat dan diakhiri dengan jamuan nasi beras baharu dengan  gulai ayam kampung atau gulai itik serati tersebut. Solat hajat dibuat untuk memohon daripada Allah SWT agar mereka sentiasa dimurahi rezeki untuk musim-musim yang berikutnya dan memohon dipermudahkan-Nya segala urusan mereka di dunia dan akhirat. 

Tiada ulasan: