RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

31 Januari 2012

Catatan Memori 4 – Program Anak Angkat Daerah Tenom (1985)

Salah satu program yang agak menarik semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan ialah Program Anak Angkat Daerah Tenom, iaitu program selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang diadakan pada 25 - 30 Oktober 1985 melibatkan 75 orang pelajar Tingkatan 3. Program ini menarik bagi saya berdasarkan kepada beberapa faktor, pertamanya kesungguhan Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din - nama timangan kalangan warga sekolah), Penyelaras Peperiksaan SRP pada ketika itu melaksanakan program ini. Pak Din sanggup menghadiri mesyuarat di Tenom dengan hanya menaiki motosikal. Saya kagum dengan kegigihan Pak Din yang mampu memikul tanggungjawab tersebut sehingga menjadi kenyataan dan memberi manfaat kepada semua pelajar. Saya bersama Cikgu Hidayat Yahya ditugaskan sebagai guru pengiring bagi membantu Pak Din dalam program tersebut.

Keduanya, program ini merupakan program peringkat daerah yang agak jauh iaitu kira-kira 134 km dari tempat kami melalui jalan kereta api. Ketiganya, program ini melibatkan kebanyakan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di pekan Tenom yang tentunya memerlukan kepada banyak penyelarasan dan persetujuan bersama. Ianya bukan mudah untuk dilaksanakan dalam konteks masa itu, lebih-lebih lagi negeri Sabah pada ketika itu baharu sahaja bertukar tampuk pemerintahan daripada kerajaan Berjaya kepada kerajaan PBS pimpinan Datuk Pairin Kitingan yang memenangi Pilihanraya Negeri Sabah pada 20 & 21 April 1985. Ini bermakna agensi kerajaaan negeri tidak lagi sama dengan agensi kerajaan Persekutuan. Namun program ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Pelajaran Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom, Pejabat Daerah Tenom dan lain-lain.
25 Oktober 1985 (Jumaat) – Kami menaiki 2 buah bas ke Beaufort (salah sebuahnya bas Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS), Bukit Padang) untuk menaiki kereta api ke Tenom pada sebelah petangnya. Pada sebelah paginya kami menjadi tetamu kepada Pejabat Daerah Beaufort yang secara kebetulannya pada ketika itu Pegawai Daerah Beaufort iaitu En. Jumahad Miasin, merupakan salah seorang daripada AJK PIBG sekolah kami. Kami telah ditaklimatkan tentang pembangunan Daerah Beaufort oleh En. Jumahad dan kami dijamu dengan jamuan ringan selepas taklimat tersebut.
Selepas solat Jumaat kami bergegas ke stesen kereta api Beaufort untuk menaiki kereta api pada jam 1.30 petang. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki kereta api milik Keretapi Negeri Sabah (KNS), walaupun sistem pengangkutan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Semenanjung Malaysia tidak asing bagi saya sejak zaman persekolahan lagi. Kedua-dua syarikat pengangkutan rel ini amat berbeza sama sekali. Mungkin disebabkan oleh faktor kemampuan kewangan syarikat, pada ketika itu koc milik KNS yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1914 (di bawah Railway Ordinance - Cap.116) itu tidaklah sebagaimana koc milik KTM.
Jarak Beaufort ke Tenom ialah kira-kira 49 km tetapi memerlukan jangka masa perjalanan kira-kira 2 jam lebih. Keadaan ini disebabkan oleh faktor fizikal landasan yang melalui lereng bukit menyusuri Sungai Padas, di kawasan Banjaran Crocker. Kelajuan kereta api semasa melalui landasan yang siap dibina pada tahun 1905 ini ada kalanya lebih perlahan daripada berjalan kaki. Silap perhitungan kereta api boleh terjunam masuk ke Sungai Padas yang mengalir ke Laut China Selatan itu. Panorama semulajadi yang indah di sepanjang perjalanan ini menarik minat para pelancong yang menaiki kereta api ini, khususnya pelancong asing.
Stesen-stesen yang dilalui antara pekan Beaufort ke Tenom ialah Saliwangan, Halogilat, Rayoh, Pangi dan Tenom. Kami tiba di stesen Tenom kira-kira jam 3.30 petang dan disambut oleh AJK Peringkat Daerah Tenom. Semua pelajar dibawa ke Dewan Sri Antanom untuk dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing. Tuan Pegawai Daerah Tenom (Tn. Hj. Jumahat – kalau tidak silap) sendiri telah turut menyambut ketibaan rombongan kami pada petang tersebut. Setelah semua pelajar dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing, kami guru-guru pengiring disediakan tempat menginap di Rumah Rehat Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Tenom.
26 Oktober 1985 (Sabtu) – Program kami yang pertama di sini ialah melawat sekitar pekan Tenom iaitu pada sebelah paginya ke Pejabat Daerah Tenom (PDT) dan Hotel Tenom Lodge. Di PDT kami telah ditaklimatkan oleh En. Mohd Rizal Chu, Penolong Pegawai Daerah Tenom pada ketika itu. Manakala pada sebelah petangnya kami dibawa melawat Empangan Hidro Tenom-Pangi milik Lembaga Letrik Sabah (kini Sabah Electricity Sdn. Bhd.) yang mempunyai kuasa 66MVV dan dapat menjana tenaga letrik sebanyak 400GWh. Empangan ini mula beroperasi pada tahun 1984. Semasa perjalanan balik salah sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang membawa pelajar kami terlibat dengan kemalangan, tetapi syukur tiada yang cedera.
27 Oktober 1985 (Ahad) – Pada sebelah pagi semua pelajar bebas bersama keluarga angkat masing-masing. Saya sempat berjalan-jalan meninjau Tamu Pekan Tenom bersama-sama dengan beberapa orang rakan setugas dan Ustaz Arben Siregar dari Pejabat Dakwah Tenom. Tamu di sini tidak banyak perbezaan dengan tama-tamu lain di negeri Sabah. Manakala pada sebelah petangnya para pelajar dibawa melawat SMK Kemabong, sekitar Kg. Kemabong dan Kg. Kuala Tomani. Kami sempat beramah mesra dengan penduduk setempat yang diketuai oleh Tn. Hj. Untung Sabar, Imam Kg. Kemabong. Kami kemudiannya mengadakan program gotong-royong di Masjid Kuala Tomani bersama-sama dengan penduduk setempat.
28 Oktober 1985 (Isnin) – Pada sebelah paginya para pelajar dibawa melawat Pusat Penyelidikan Pertanian Lagud Seberang, Tenom. Pusat ini terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tenom. Di sini terdapat Muzium Tanaman Hidup, Taman Orkid dan Lebah Madu. Pelbagai jenis tanaman yang mempunyai nilai serta kegunaan dalam pertanian dan perindustrian terdapat di sini, antaranya pelbagai tanaman yang telahpun dibahagikan mengikut kegunaan seperti sayur-sayuran, rempah-ratus, buah-buahan, tanaman minuman, wangi-wangian dan sebagainya.
29 Oktober 1985 (Selasa) – Pada sebelah pagi hari terakhir ini kami telah mengadakan gotong royong di Masjid Tenom bersama-sama dengan semua keluarga angkat yang terlibat dengan program ini. Manakala pada sebelah malamnya ialah kemuncak program iaitu Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Sri Antanom. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tenom, Tn. Hj. Jumahat. Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Tenom, ASP Hj. Sanali Hj Amit, En. Mohd Rizal Chu, Penolong Pegawai Daerah Tenom dan para ibu bapa yang terlibat. Saya telah berucap mewakili Pengetua SMKAL pada majlis tersebut. Bagi pihak warga sekolah, kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menerima kami dalam program 5 hari tersebut.
30 Oktober 1985 (Rabu) - Jam 10.00 pagi kereta api yang kami naiki meninggalkan Stesen Tenom.
Nama-nama lain yang terlibat dan masih tercatat dalam catatan saya ialah Tn. Hj. Untung Sabar (Imam Kg. Kemabong), Tn. Hj. Jamal Karia (Kg. Chinta Mata), Tn. Hj. Mandaud (Imam Kg. Chinta Mata), En. Lahari Lasari (Pejabat Pertanian Tenom), En. Jismil Yakop (MUIS, Tenom), Insp. Sirajuddin Yang (Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom), En. Mohd Saidin Ismail (Jabatan Keretapi Sabah), Ustaz Arben Siregar (Pejabat Dakwah Tenom), En. Ahmad Muhadi Hj Mahfod, En. Gulam Bani Gulamdin, En. Mohd Bahar Hj Kahar (Lembaga Tabung Getah) dan En. Perlin Amsun (Pertubuhan Peladang Berusaha, Tenom). Semoga Allah SWT memberkati jasa baik kalian.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

CityetUsalam.rare gmbr tu bang.nostalgia.simpan baik2.aku org kg Chinta Mata, Tenom.beberapa org dlm gmbr tu yg sdh meninggal. Al Fatihah.TQ