RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

01 Mei 2009

Teater ‘Mahkamah’ Gegarkan Dewan Darul Makmur

Satu pementasan teater sempena perayaan Bulan Bahasa 2009 anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis telah diadakan pada 28 April 2009 jam 9.00 malam. Pementasan teater ini merupakan kemuncak kepada perayaan tersebut selain acara-acara lain seperti pertandingan mendeklamasikan sajak yang telah diadakan pada 20 April 2009, peraduan menulis esei dan Program Bicara Karya Sastera Negeri Pahang Teater anjuran bersama Jabatan Pengajian Melayu dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan diadakan pada 6 Mei 2009. Teater ‘Mahkamah’ yang telah dijayakan oleh Kelab Teater Rajuk dari Kuantan ini diarahkan oleh Saudara Lan Kuala dengan teraju utama AK Hidayat. Antara tetamu yang hadir menyaksikan pementasan teater ini ialah En. Mazlan Mohamad, Pengarah IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Encik Mohd. Sukarno Abdul Wahab, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang, Tn. Hj. Johar Othman, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Ketua-ketua Jabatan, pensyarah-pensyarah kanan di IPGMKTAA serta para tetamu sekitar PPD Lipis. Pementasan yang julung kali diadakan di IPGM ini telah mendapat sambutan hebat daripada warga IPGMKTAA.
Kelab Teater Rajuk yang dipimpin oleh Saudara AK Hidayat atau nama sebenarnya Abdullah Karim telah ditubuhkan pada tahun 2007 dengan 40 orang ahli (16 lelaki dan 24 perempuan) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mengikut AK Hidayat nama Kelab Teater Rajuk adalah akronim daripada nama penuh kelab ini iaitu Kelab Teater Rangkaian Jiwa Unik dan Klasik. Sehingga kini sebanyak 6 buah teater telah dipentaskan oleh kelab teater ini di seluruh negeri Pahang, khususnya Kuantan dan di luar Pahang. Pementasan ini merupakan pementasan kali kedua teater ‘Mahkamah’ oleh kelab teater ini. Kali pertama 'Mahkamah' dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang. Selain pementasan teater, para penonton juga dihiburkan dengan persembahan esembel perkusi, rangkaian lagu-lagu rakyat oleh Kumpulan Pelajar PISMP Semester 1 dan persembahan nazam oleh Encik Mohd. Hanifah Moideen. Manakala pada 29 April 2009 semua pelajar Major Bahasa Melayu didedahkan dengan bengkel teater yang dikendalikan sepenuhnya oleh Saudara AK Hidayat dan ahli-ahli Kelab Teater Rajuk.
Pengarah IPGMKTAA dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang dalam ucapan mereka senada menyatakan bahawa program ini merupakan langkah permulaan ke arah kerjasama antara IPGM, Majlis Teater Negeri Pahang dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang dalam usaha memelihara khazanah seni budaya tempatan yang kini kian pupus. Mereka sama-sama berharap agar segala khazanah seni budaya tempatan didokumentasikan semula untuk dimanfaatkan oleh generasi baru.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam. tk en rasdi kerana saya dpt mengikuti maklumat walaupun berada di KL kerana mewakili TP ke mesyuarat JK Pemandu ICT di hotel Flamingo, Ampang.

Abd Ghaffar,KJ TP IPGMKTAA

ABDUL GHAFFAR berkata...

TK krn sya dpat mengikuti perkembangan di IPGMTAA walaupun sedang berada di KL kerana mesyuarat JK Pemandu ICT, mewakili Tuan Timbalan Pengarah.