RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

31 Disember 2011

Selamat Tahun Baru 2012

Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2011 dan tepat pada jam 12.00 tengah malam nanti maka masuklah ke tahun baru iaitu tahun 2012. Ekoran daripada perubahan tahun tersebut maka bertambah setahun lagi usia kita. Lalu apabila menjelang sahaja tahun baru semua orang mula memasang azam baru untuk menghadapinya. Ramai orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012. Oleh itu tidak sedikit daripada masyarakat kita (khususnya di bandar-bandar besar) yang pada setiap hujung tahun menunggu detik 12 tengah malam bagi meraikan kedatangan tahun baru tersebut. Masing-masing tidak melepaskan peluang dengan meniru 'budaya orang lain’ yang seolah-olah rugi jika tidak menyertainya. Mereka menunggu kedatangan tahun baru dengan pelbagai aktiviti yang kebanyakannya 'tiada kena mengena' dengan semangat tahun baru.

Hakikatnya sejauhmanakah kita berubah pada setiap kali datangnya tahun baru? Sejauhmanakah kita memahami bahawa perubahan tahun baru itu juga menuntut kepada perubahan kepada diri kita? Apa yang jelas, tiada sempadan perubahan yang ketara yang memisahkan tahun baru dengan tahun lama yang berkaitan dengan diri kita. Yang nyata kita tetap mengharungi masa yang sama iaitu 24 jam sehari dengan aktiviti rutin yang hampir sama pada setiap hari. Kita tetap bangun pagi dan bekerja seperti biasa setiap hari pada sepanjang tahun sebelumnya. Berdasarkan kepada keghairahan menunggu detik 12 tengah malam tahun baru tersebut, maka sepatutnya masing-masing dapat menunjukkan perbezaan yang ketara daripada semua aspek kehidupan seharian pada setiap kali menjelangnya tahun baru.

Justeru itu sempena kedatangan tahun baru 2012 ini marilah kita sekurang-kurangnya memasang azam agar apa jua yang kita lakukan pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Kata Pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”. Selain itu semoga apa juga yang kita lakukan pada masa-masa yang mendatang akan diberkati Allah SWT hendaknya. Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Selamat tahun baru 2012.

04 Disember 2011

Tetamu Konvo UMS 25-28 Nov 2011

Kini jarak Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak nampaknya semakin dekat. Oleh itu sejak tahun 2006, setiap tahun saya sampai ke Negeri Di Bawah Bayu ini sama ada atas urusan rasmi atau urusan peribadi dan keluarga. Pada tahun 2011 ini, sekali lagi kami ke sana atas tujuan meraikan anak kedua kami yang menerima ijazah di Majlis Konvokesyen Kali Ke-13, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 25 – 29 November 2011. Kami berlepas dengan pesawat Air Asia AK5100 dari LCCT, Kuala Lumpur pada jam 6.45 pagi Jumaat, 25 November 2011 dan tiba di Terminal 2 Kota Kinabalu kira-kira jam 9.10 pagi.
Di Kota Kinabalu kami disambut oleh Cikgu Sulaiman Awang, bekas pelajar saya semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan (SMKAL) pada tahun 1982-86 yang lalu. Alhamdulillah, beliau juga telah menyediakan sebuah kereta Hyundai Getz SAA727M untuk kegunaan kami semasa berada di Sabah selama 4 hari tersebut. Terima kasih banyak-banyak kepada Cikgu Sulaiman.
Di Kota Kinabalu kami menginap di Sri Intan Homestay, Putatan (No. tel. 012-8386598/012-8676598 atau intanhomestay@gmail.com) yang telah kami tempah beberapa minggu sebelum tiba di sana.
Sri Intan Homestay merupakan perniagaan sebuah keluarga (3 beradik) yang terdiri daripada 3 buah banglo 3 tingkat di satu kawasan berhampiran Tanjung Dumpil, salah satu tempat pencerapan anak bulan Ramadan dan Syawal pada setiap tahun. Sri Intan Homestay boleh disewa dalam bentuk satu bilik atau tiga bilik dengan harga yang berpatutan untuk penghuninya. Oleh kerana lokasinya agak jauh sedikit dari jalan utama Putatan - Kota Kinabalu, maka sesiapa yang ingin menginap di sini perlu memiliki kenderaan sendiri.
25 November 2011 (Jumaat) Petang: Kami berehat sampai ke petang kerana pada sebelah paginya telah bangun seawal jam 3.30 pagi untuk ke LCCT memandangkan penerbangan jam 6.45 pagi. Pada sebelah malamnya kami menikmati ikan bakar di belakang Pasar Filipina.
26 November 2011 (Sabtu) Jam 8.00 pagi: Ke Tamu Putatan untuk meninjau dan membeli makanan untuk sarapan pagi anak-anak sambil mengimbau kenangan lalu. Tamu Putatan masih dalam tradisinya sebagaimana kami meninggalkan Sabah kira-kira 25 tahun yang lalu. Kami membeli beberapa jenis kueh tradisional Sabah yang pernah kami makan dahulu antaranya pinjaram atau pinyaram. Yang lain-lain hampir sama dengan kueh-mueh di sini kecuali cara pembungkusannya yang agak berbeza seperti pulut, ketupat daun palas, tapai pulut dan sebagainya. Begitu juga dengan buah-buahan, yang berbeza hanya buah tarap dan buah bambangan sahaja. Harga kueh-mueh dan buah-buahan juga hampir sama dengan harga di Semenanjung Malaysia.
Jam 11.00 pagi: Ke UMS melalui Jalan Lintas, Luyang dan Likas untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kota Kinabalu. Bandar raya ini telah mengalami kesesakan lalu lintas yang terus sejak kebelakangan ini akibat daripada pertambahan kenderaan dan kekurangan jalan raya utama dan jalan pintas.
Kami tiba di UMS kira-kira jam 12.00 tengah hari sebaik sahaja penerima ijazah sesi pertama keluar. Kami sempat meraikan Cikgu Sulaiman yang menerima ijazah Sarjana Kaunseling pada sesi tersebut. Cikgu Sulaiman merupakan pelajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 semasa di SMKAL. Selain itu saya juga ditakdirkan bertemu dengan Datu Roslin Datu Siabuk (juga bekas pelajar SMKAL) yang mengiringi isterinya menerima ijazah sarjana pada hari tersebut. Tahniah atas kejayaan-kejayaan tersebut.
Jam 2.30 petang: Ke rumah Cikgu Awang Talip dan Cikgu Lasminah di Kampung Seberang Benoni, Papar. Di sini saya juga bertemu dengan bekas staf SMKAL, Saudara Jaidin Abdul Rashid yang kebetulan biras kepada Cikgu Awang Talip. Bertemu selepas 25 tahun berpisah, tentunya banyak cerita lama yang dikeluarkan. Kunjungan kami ini merupakan timbal balik lawatan Cikgu Lasminah ke rumah kami pada bulan April 2011 yang lalu. Kami kemudian beredar ke rumah Jaidin di Kampung Kuala Padang, Papar dan kembali semula ke homestay jam 6.15 petang.
27 November 2011 (Ahad) Jam 8.00 pagi: Sekali lagi ke UMS untuk bergambar sebelum kami ke Kota Belud untuk melihat keadaan Tamu Mingguan di situ. Jarak KK – Kota Belud kira-kira 70km yang mengambil masa sejam perjalanan. Saya sudah dua kali sampai di pekan ini, iaitu pada tahun 1980 dan 1984 melalui jalan lama KK-Tamparuli-Tenghilan-KB yang berliku-liku. Kini jalan ke Kota Belud tidak lagi melalui jalan Tamparuli sebaliknya melalui Tuaran-Tenghilan-Kota Belud. Kami tiba jam 9.30 pagi dan ini merupakan kali ketiga saya sampai di situ.
Antara jualan yang popular di sini ialah hasil pertanian, ternakan, kraftangan dan tangkapan ikan masyarakat kampung sekitar sebagaimana konsep pekan sehari di Pahang. Saya tertarik dengan beberapa item yang tidak terdapat di pekan sehari di sini iaitu jualan parang buatan tempatan, kraftangan yang berupa anyaman dan tenunan tempatan, dan ikan tilapia yang disalut serbuk kayu hitam (tidak pasti jenis kayunya).
Bekas pelajar saya, Cikgu Milus memaklumkan bahawa Tamu Besar yang diadakan sekali setahun sudah diadakan beberapa bulan yang lepas. Kami meninggalkan Kota Belud pada jam 1.30 tengah hari.
Jam 3.00 petang: Singgah di Bangunan Yayasan Sabah dan ke PC Fair di Stadium Likas. Kemudian kami ke Pasar Kraftangan (Pasar Filipina) sehingga jam 6.30 petang. Pada sebelah malam saya sekeluarga dan Sulaiman memenuhi jemputan Razak Jamil dan keluarga untuk makan malam di sebuah restoran di sekitar Lintas, Luyang. Razak Jamil juga bekas pelajar SMKAL yang merupakan salah seorang peguam yang terkenal di KK. Kami beredar dari restoran tersebut jam 10.00 malam.
28 November 2011 (Isnin) Jam 8.00 pagi: Kami ke SMK Tun Datu Mustapha, Limauan untuk melawat tapak SMKAL dahulu. Bangunan baru sekolah tersebut nampaknya hampir siap dan telah mengubah sama sekali panorama lama. Saya berpandangan bahawa sepatutnya nama SMKAL kekal di puncak bukit itu, bukan dibawa ke Kimanis. Roh SMKAL sebenarnya di puncak bukit itu, tidak di tempat lain. Kami mengambil masa kira-kira 40 minit di situ sebelum beredar ke Pekan Kinarut. Pekan ini tentunya tidak terlepas daripada kunjungan saya sekiranya ke SMKAL dan sasaran saya ialah Kedai Runcit Teck Hong, iaitu kedai di mana tempat saya membeli barang-barang koperasi sekolah selain daripada Kedai Kojasa di KK pada masa itu. Sebagaimana biasa taukeh Teck Hong memberikan dua tin minuman untuk kami minum. Kami kemudian bersarapan di sebuah restoran mamak di Taman Lok Kawi.
Jam 10.30 pagi: Ke UMS lagi untuk menghantar anak ke kolej kediaman sebagai persediaan konvokesyen sesi ke-6 pada keesokan harinya (29 November 2011). Saya tidak sempat untuk menghadiri sesi konvonya kerana kesilapan teknik semasa membeli tiket balik pada 28 November 2011 jam 6.05 petang. Jadi kami terpaksa pulang lebih awal dari tarikh sesi tersebut diadakan. Namun tiada apa yang merungsingkan kami memandangkan kebanyakan daripada rakan-rakannya, khususnya dari Semenanjung hadir untuk menerima ijazah tanpa kehadiran keluarga masing-masing. Keadaan ini tentunya disebabkan oleh jarak dan kos perjalanan yang terpaksa mereka tanggung sekiranya ingin menghadiri majlis tersebut. Apa yang mengagumkan saya, mereka semua nampak gembira walaupun tanpa kehadiran keluarga masing-masing. Apa pun tahniah kepada mereka yang telah berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.
Jam 2.00 petang: Kami meninggalkan UMS ke KK melalui Signal Hill untuk melihat keindahan panorama Bandar Raya Kota Kinabalu, kemudian kami terus ke Terminal 2 KK.
Jam 6.35 petang: Meninggalkan bumi Sabah dengan pesawat Airbus A320 Air Asia AK5109 BKI-KUL.
Jam 9.00 malam: Tiba di LCCT, KL. Letih wooo.